Sunday, March 25, 2012

Pie Kari Kentang Nostalgia...

Salam untuk semua, hari ini sekali lagi saya bersiaran dan kali ini saya hendak kongsikan resepi Pai Kentang Nostalgia ini..wah naper pulak nama dia  ada Nostalgia tu kan...ini adalah kerana bila saya makan pie ini teringat pulak rasanya seakan karipap bai berbentuk segitiga yang biasa dijual oleh penjaja roti bai yang menaiki basikal ada menjual karipap yang bersize agak besar warnanya kuning oren, berinti kari kentang tapi kulitnya berlapis dan ada sedikit rasa minyak sapi...tu masa zaman saya kecik2 dulu sekolah rendah lagi dan tinggal di Jalan Surau, Stulang Baru, Kg Melayu..dan dah berzaman pun nostalgia yang ditinggalkan tapi tetap terpahat dalam memori.

Selain menjual roti yang beranika yang digantung pada bakul bulat di belakang basikal sampai tak muat2 sebab begitu banyak benda yang dijual termasuk jajan2 dan yang saya ingat selain ada karipap bai  tu ada sejenis lagi biskut suji yang size nya agak besar dan tebal, masa dulu2 tu rasanya harga sekeping biskut suji baru 10 sen  tapi sekarang harga  dah  jadi 30sen sekeping...peredaran masa semuanya berubah tak ada lagi agaknya bai2 yang meniaga roti menaiki basikal pada zaman sekarang ini atau jika kita jumpa pun mungkin satu dua di kawasan kampung atau pendalaman.  Panjang pulak saya mengimbau kenangan lama..tentu ada yang bosan membacanya...saya sebenarnya mengadaptasikan resepi yang ini dari blogwalking di beberapa blog masakan dan pastinya dari blog sifu saya..opss sorry Che Mat boleh kan akak jadikan awk sifu a.k.a idola akak dalam bidang masakan  dan saya nak ambil kesempatan untuk ucapan ribuan terima kasih dan sekalung budi yang tidak terhingga kepada CMG.. yang mana pastry bagi pie ini menggunakan roti canai segera jenama Kawan dan intinya saya olah megikut citarasa dan bahan2 yang ada sahaja..ok kita semak bahan-bahan yang diperlukan seperti di bawah:

Pie Kari Kentang Nostalgia..

Bahan-Bahan:

4 keping roti canai jenama kawan - pastikan dalam keadaan sejuk untuk senang dibentuk.
2 biji kentang - di dadu dan digoreng
200 gram daging cincang
1 batang carot yang sedang - dipotong dadu
2 labu bawang besar - di dadu
3 ulas bawang putih - di cincang
1 inci halia - dicincang
2 sudu makan rempah kari daging - dibancuh dengan sedikit air jadikan pes
1 sudu makan oyster sos
1/2 cawan air
1 sudu makan gula
garam secukup rasa
sedikit minyak untuk menumis
1 biji kuning telur untuk gris di atas pie

Cara:

1. Sediakan inti terlebih dahulu.  Panaskan sedikit minyak  dalam kuali tumiskan bawang besar dadu, bawang putih dan halia hingga agak layu dan berbau harum. Masukkan rempah kari yang telah dijadikan pes, tumiskan sehingga agak garing dan naik minyak.
2. Masukkan gula, oyster sos balik2kan dan masukkan daging cincang. Masukkan air dan diikuti dengan carot balik-balikan sehingga daging dan carot agak empuk dan masukkan pula kentang yang telah digoreng tadi. Balik2kan sehingga inti agak mengering masukkan sedikit garam dan rasakan kesesuaian rasanya.  Padamkan api dan sejukkan dahulu.
3. Lenserkan loyang pie bersaiz 6 inci atau kalau tak ada gunakan tudung periuk pun boleh dengan sedikit majerin.  Ambil sekeping roti canai dan letak ke dalam loyang pie tekan2 sedikit. Letakkan setengah dari inti yang dibuat tadi dan ambilkan sekeping lagi roti canai segera tekankan tepi pie dengan garfu  atau boleh juga dikelim hingga kemas. Buatlah untuk satu lagi pie dan cucukkan sedikit permukaan pie dengan garfu dan sapukan dengan kuning telur.
4. Bakar pie di dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 180'C selama setengah jam..
Sejukkan dan potong pie beberapa bahagian dan sedap di makan suam2. Selamat mencuba.





2 comments:

  1. Cepat kan guna roti canai ni...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cepat...mudah dan sedap...tq CM sbb selalu kongsi resepi yang mudah utk dibuat...yg susah2 tu akan dicuba jugak nnti..hehe..

      Delete