Sunday, July 6, 2014

Kuih Bakar Pandan..pemanggang ajaib..

Assalamualaikum.. salam pagi minggu untuk semua kawan-kawan dan pengunjung ZLC yang saya hormati, apakabar semua diharap kalian berada dalam keadaan sihat.  Semalam kita baru dikejutkan dengan berita permergian seorang biduanita negara Dato' Sharifah Aini yang telah pergi buat selamanya pada 1.25 am berikutan jangkitan paru-paru.  Saya juga turut terkesan dengan berita yang agak mengejutkan ini..kerana saya merupakan salah satu dari ribuan peminat Dato' Sharifah Aini yang membesar dengan lagu2 dari nyanyian beliau yang tak akan pernah jemu mendengarnya walau berulangkali.  Saya juga pernah menghadiri Konsert/Show Allahyarhamah yang diadakan sempena hari ibu di Persada Johor Bahru, CERITA DISINI..
yang tak mungkin dapat saya lupakan..semoga roh ummi Sharifah ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan dicucuri rahmat..Al-Fatihah..

Kita tinggalkan sejenak cerita sedih hari semalam dan hari ini saya nak kongsikan dengan kawan2 resepi mudah untuk membuat kueh bakar pandan yang sesuai disajikan untuk berbuka puasa, minum petang, sarapan pagi atau bila-bila masa..tapi bulan puasa nie tunggu waktu berbuka lah yer kawan2.  Untuk kawan-kawan yang nak resepi ini seperti Rossana, Chen Esther dan Juliana Asyikin..cubalah yer..kueh ini amat lembut dan sedap..dan yang penting mudah nak membuatnya saya bakar guna pemanggang ajaib dan bakar atas dapur sahaja.

Kueh Bakar Pandan..

Bahan-Bahan:

2 cawang tepung gandum
1 cawan gula
1 cawan jus pandan - (blender 2-3 helai daun pandan dengan secawan air dan tapis)
2 1/4 cawan santan
3 biji telur ayam
2 sudu makan butter/majerin
sedikit pewarna hijau
sedikit bijan untuk tabur di atas kueh bakar
1 sudu makan butter/majerin untuk lenser pada pemanggang ajaib

Cara:
1. Masukkan jus pandan, santan, telur, gula, tepung dan butter dalam blender, kisar sehingga halus semua bahan. Masukkan sedikit pewarna hijau dan kacau sebati
2. Panaskan pemanggang ajaib, masukkan sedikit butter dan ratakan. Tuangkan kesemua adunan, yang dikisar tadi. Adunan agak penuh tapi jangan bimbang sebab tak akan melimpah keluar.
3. Taburkan bijan atas permukaan aduanan kueh bakar, bakar guna api paling kecil dalam 30 minit.  Bila dah 30 minit lihat kueh sama ada masak betul dengan cucukkan hujung pisau jika keluar bersih kueh dah masak kalau belum boleh tambahkan masa 5-10 minit lagi.  Sejukkan terlebih dahulu sebelum di potong.  Selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment