Zalekha Luvs Cooking

Zalekha Luvs Cooking
masakan yang mudah lagi sempoi..

Monday, July 7, 2014

Sambal Hitam Pahang..

Assalamualaikum..Selamat pagi Isnin semua., pagi ni hujan turun pepagi lagi.  Alhamdulillah sejuk dan nyaman sikit rasanya dan berpuasa dalam keadaan yang nyaman begini tentu sedap aje kan tapi matalah yang akan berkebil2 sebabnya mengantukkan...kalau orang tak bekerja duduk di rumah tentu seronok dapat tidur di pagi hari yang nyaman begini. Tapi kalau bekerja terpaksalah menjenggilkan mata... malas nak melayan mata yang dah nak jadi mata panda sepet meh ler kita tengok resepi yang nak saya kongsikan dengan kawan2 hari ini..iaitu sejenis resepi yang mula jadi popular di kalangan bloger dan fb yang gemar memasak  iaitu resepi Sambal Hitam Pahang, resepi yang boleh dikategorikan sebagai resepi tradisi dan warisan ini agak mudah nak memasaknya dan bahan-bahannya pun tak banyak tapi nak menyediakan belimbing rebus sahaja yang agak memakan masa..ada yang memasak belimbing buluh sehingga 8 jam dan ada juga yang merebusnya hanya 4 jam..tapi saya tak merebusnya sebab makcik saya di Chenor Pahang ada bagi sebalang belimbing yang siap di rebus untuk kami adik beradik semasa saya dan keluarga balik Kampung pada bulan Mei lalu.. Jadinya dapatlah di hasilkan sambal hitam pahang dengan belimbing sedap tau rasanya yang masam2 pedas makan pula dengan nasi panas memang terangkatlah..

Sambal Hitam Pahang..

Bahan-Bahan :

Semangkuk (mangkuk tafufa) belimbing rebus
1 cawan  ikan bilis yang telah dibersihkan - direndam sebentar dan toskan
segemgam cili padi - ikut kepedasan yang dikehendaki (>< 25-30 biji)
4 labu bawang besar - dihiris nipis
Sedikit gula
Sedikit garam
2 sudu makan kicap lemak manis jalen
minyak masak secukupnya untuk menumis

Cara:
1. Belimbing di renyah sedikit dan ketepikan dulu
2. Tumbuk halus cili padi, ikan bilis juga ditumbuk dan bawang besar hiris direnyah dalam lesung batu.
3. Panaskan sedikit minyak untuk menumis masukkan bawang besar yang direnyah diikuti dengan cili padi dan ikan bilis, tumiskan sehingga agak garing, masukkan sedikit gula dalam 2 sudu makan bersama kicap dan masukkan juga buah belimbing rebus yang direnyah tadi.
4. Balik-balikkan sehingga agak kering sambal ini dan bila dah masak sejukkan hidangkan bersama nasi panas.  Sambal ini tahan lama jika di simpan dalam peti ais.

sesuai untuk makan tengahari bersama lauk sampingan asam pedas dan ikan goreng..

Sunday, July 6, 2014

Pau Inti Kentang Ayam..

Salam...bersiaran sekali lagi, nak tulis resepi pau yang saya buat sebelum seminggu puasa rasanya..selalunya saya buat pau tak berapa nak menjadi tapi kali ini saya belajar dari seorang Chef di FB yang terkenal iaitu Mamak Haji..sebenarnya MH ni banyak memberi tunjuk ajar ilmu2 bukan sahaja resepi2 mamak yang berasal dari Pulau Mutiara yang terkenal dengan masakan Nasi Kandar tapi juga  pelbagai resepi dari semua bangsa..dengan pengalaman beliau yang luas dalam bidang katering, tokey restoran dan perniagaan berasaskan pembekalan bahan2 makanan dan masakan saya telah sedikit sebanyak menimba ilmu dari MH yang tak pernah lokek dengan coretan ilmunya..hanya Allah sahaja yang akan membalas segala ilmu yang diberikan, dan saya juga ada mengambil resepi2 yang akan saya cuba..tapi x tau bila ekk..InShaAllah bila ada kelapangan saya akan mencubanya ek..dan hari ni saya nak kongsi resepi Pau yang saya buat gunakan resepi MH tqvm...inti nyer saya buat sendiri sebab saya suka yang pedas kalau sesiapa suka yang manis boleh guna inti kelapa atau kacang merah juga kaya..Jom kita semak resepi di bawah..

Pau Kentang Ayam 

Bahan-Bahan:

Bahan Inti:
1 cawan ayam kisar
4 biji kentang - di potong dadu kecil
2 labu bawang besar (sedang) - di dadu halus
5 ulas bawang putih - di cincang
1 inci halia - dicincang
3 sudu makan serbuk kari daging - bancuhkan dengan sedikit air jadikan pes
1/2 cawan air
sedikit garam dan gula sebagai perisa
sedikit minyak untuk menumis

Bahan untuk Pau:
6 cawan tepung gandum
1 peket yis kering mauripan
1/4 cawan gula - di larut dengan 1/4 cawan air suam
1 1/2 cawan air suam
1 sudu makan baking powder
2 sudu makan butter / shortening (lemak sayuran) - (saya guna butter - shortening x ada)
sedikit garam

Cara:

1. Mula-mula sediakan inti pau, panaskan minyak dalam kuali, tumiskan bawang besar dadu, bawang putih cincang dan halia cincang sehingga layu dan berbau harum.  Masukkan Rempah kari yang dijadikan pes tadi, masukkan pula ayam kisar dan diikuti air.
2. Masukkan kentang dan balik2an, masukkan garam dan gula sebagai perisa, kalau nak masukkan serbuk perasa pun boleh tapi saya tak guna. Masakkan sehingga kentang empuk, tambahkan sedikit air jika kentang agak lambat lembut. Bila inti dah masak sejukkan dahulu sebelum digunakan.
3. Sediakan pula adunan pau.  Mula-mula masukkan 1 peket yis kering mauripan kedalam mangkuk bersama 1/4 cawan air gula yang di larutkan tadi, biarkan yis hidup/membiak dalam 10 - 15 minit
4. Dalam mangkuk adunan masukkan tepung gandum yang diayak bersama 1 sudu makan baking powder,
masukkan juga butter, dan sedikit garam gaulkan dengan hujung jari menjadi seperti bread crumb, masukkan pula bancuhan yis dan mula menguli dengan memasukkan air suam sedikit demi sedikit,
5. Uli sehingga adunan pau menjadi licin dan tidak melekit di mangkuk adunan dan seperti kita menguli roti canai. Biarkan adunan lebih kurang 1/2 jam atau naik sekali ganda. Bila adunan pau dah naik tumbuk2kan sedikit untuk keluarkan udara.
6. Bentukkan adunan pau ambil anggaran sebesar bola ping pong, leperkan sedikit di tapak tangan dan masukkan inti secukupnya lebih kurang 2 sudu makan. Tutup adunan dan jadikan bentuk bulat dengan bahagian yang dicantum di sebelah bawah. Letakkan pau yang telah di bentuk tadi di atas kepingan kertas 1.5 x 1.5 inci letak di atas dulang dengan menjarakkan sedikit dan biarkan adunan pau naik sekali ganda.
7. Panaskan kukusan dan masukkan pau untuk dikukus selama 20 minit.  Pau panas dan lembut siap untuk dihidang...selamat mencuba..



ini pau untuk anak2 inti coklat blueberry..


Kuih Bakar Pandan..pemanggang ajaib..

Assalamualaikum.. salam pagi minggu untuk semua kawan-kawan dan pengunjung ZLC yang saya hormati, apakabar semua diharap kalian berada dalam keadaan sihat.  Semalam kita baru dikejutkan dengan berita permergian seorang biduanita negara Dato' Sharifah Aini yang telah pergi buat selamanya pada 1.25 am berikutan jangkitan paru-paru.  Saya juga turut terkesan dengan berita yang agak mengejutkan ini..kerana saya merupakan salah satu dari ribuan peminat Dato' Sharifah Aini yang membesar dengan lagu2 dari nyanyian beliau yang tak akan pernah jemu mendengarnya walau berulangkali.  Saya juga pernah menghadiri Konsert/Show Allahyarhamah yang diadakan sempena hari ibu di Persada Johor Bahru, CERITA DISINI..
yang tak mungkin dapat saya lupakan..semoga roh ummi Sharifah ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan dicucuri rahmat..Al-Fatihah..

Kita tinggalkan sejenak cerita sedih hari semalam dan hari ini saya nak kongsikan dengan kawan2 resepi mudah untuk membuat kueh bakar pandan yang sesuai disajikan untuk berbuka puasa, minum petang, sarapan pagi atau bila-bila masa..tapi bulan puasa nie tunggu waktu berbuka lah yer kawan2.  Untuk kawan-kawan yang nak resepi ini seperti Rossana, Chen Esther dan Juliana Asyikin..cubalah yer..kueh ini amat lembut dan sedap..dan yang penting mudah nak membuatnya saya bakar guna pemanggang ajaib dan bakar atas dapur sahaja.

Kueh Bakar Pandan..

Bahan-Bahan:

2 cawang tepung gandum
1 cawan gula
1 cawan jus pandan - (blender 2-3 helai daun pandan dengan secawan air dan tapis)
2 1/4 cawan santan
3 biji telur ayam
2 sudu makan butter/majerin
sedikit pewarna hijau
sedikit bijan untuk tabur di atas kueh bakar
1 sudu makan butter/majerin untuk lenser pada pemanggang ajaib

Cara:
1. Masukkan jus pandan, santan, telur, gula, tepung dan butter dalam blender, kisar sehingga halus semua bahan. Masukkan sedikit pewarna hijau dan kacau sebati
2. Panaskan pemanggang ajaib, masukkan sedikit butter dan ratakan. Tuangkan kesemua adunan, yang dikisar tadi. Adunan agak penuh tapi jangan bimbang sebab tak akan melimpah keluar.
3. Taburkan bijan atas permukaan aduanan kueh bakar, bakar guna api paling kecil dalam 30 minit.  Bila dah 30 minit lihat kueh sama ada masak betul dengan cucukkan hujung pisau jika keluar bersih kueh dah masak kalau belum boleh tambahkan masa 5-10 minit lagi.  Sejukkan terlebih dahulu sebelum di potong.  Selamat mencuba.

Thursday, July 3, 2014

Umbut Kelapa Masak Lemak Putih...

Salam semua...sekali lagi saya bersiaran hari ini sementara ada kelapangan dan line pun nampak macam ok jer..so kita menulis satu lagi resepi mudah yang merupakan hidangan lauk kampung yang sangat sedap dimakan bersama nasi panas, sambal belacan dan ikan masin memang terangkat org kata tak nampak kalau mak mertua lalu di belakang  hehehe... Mungkin dikalangan kawan2 ada yang tak pernah makan umbut kelapa kan, untuk sesiapa yang tak pernah jumpa lauk2 kampung seperti ini mungkin agak janggal dan pelik kerana untuk mendapatkan bahan untuk memasak umbut nie prosesnya amat rumit tau kawan2 sebab terpaksa menumbangkan pohon kelapa dan di ambil bahagian atas dari bahagian pokok yang dibuang daun2 kelapa itu dan bahagian tengah dari atas pokok itu lah dapat umbutnya, di bersihkan dan ditebak untuk dapatkan umbut lembutnya. xsangkakan pohon kelapa yang keras tapi umbutnya sangat lembut dan sedap.  Saya pun berpeluang untuk masak umbut kelapa ini sebab akak cc ofis saya bawakan untuk saya sedikit umbat yang dibawa balik dari kg kak Ros di Peserai Batu Pahat..terima kasih akak cyg...semalam dah dapat masak lauk kampung yang sedap tu pada tekak saya untuk berbuka..hehehe..jom kita tengok bahan-bahannya.

Umbut Kelapa Masak Lemak Putih..

Bahan-Bahan:

Umbut kelapa lebih kurang 2 buku kecil - dihiris
8 ulas bawang merah - ditumbuk halus / kisar*
3 ulas bawang putih - ditumbuk halus / kisar*
1/2 camca teh lada hitam tumbuk halus / kisar*
2 sudu besar ikan bilis - direndam sebentar -ditumbuk halus /kisar*
2 batang cili merah dipotong serong
sehelai daun kunyit disiat sedikit dan di simpulkan
2 cawan santan cair / air
3 cawan santan pekat
sedikit garam, kalau suka letak serbuk perasa boleh letak saya tak guna pun.

Cara:

1. Umbut kelapa yang telah di hiris tadi di rebus/celur sebentar dalam air panas mendidih
untuk lembut kan sedikit tak perlu lama dalam 5 minit - toskan.
2. Masukkan bahan2 yang ditumbuk halus atas di kisar * tadi dalam periuk bersama 2 cawan santan cair
Bila dah agak mendidih bahan rencah masukkan pula umbut yang telah dicelur dan ditoskan.  serta boleh masukkan santan pekat berserta cili hiris dan daun kunyit.
3.  Setelah memasukkan santan pekat lauk ini hendaklah sentiasa di kacau supaya tidak pecah minyak atau curdle gunakan api sederhana sahaja, masukkan juga garam. masak sehingga mendidih dan bolehlah di padamkan api bila dah masak.
4. Hidangkan bersama nasi panas, lauk lemak macam nie sedap dimakan bersama samba belacan dan ikan kering masin atau ikan goreng...selamat mencuba..
inilah rupa umbut kelapa..gambar ehsan en. google..


Ayam Kicap Madu...

Assalamualaikum, salam Ramadhan hari ke 5 buat semua..apa khabar kawan2 dan pengunjung ZLC di bulan puasa nie, harap2 semuanya berada di dalam kesihatan yang baik dalam menjalani ibadah puasa.  Bagi yang kurang sihat tu jaga kesihatan, makan ubat, jika tidak memudaratkan dan boleh berpuasa alhamdulillah dan jika sebaliknya bersabarlah dengan ujian yang sedang dihadapi ini...mudah2an semuanya akan kembali seperti sediakala hendaknya..

Oklah x boleh nak berbual panjang di bulan puasa nie..kita teruslah ke resepi mudah yang ingin saya kongsikan disini iaitu Ayam Kicap madu yang sangat digemari oleh anak2 buah saya di rumah..dan yang lain-lain pun suka juga sebab rasanya yang sedap dan tak muak dimakan..sama ada makan dengan nasi putih, nasi ayam atau enak untuk diratah begitu sahaja dan yang paling penting mudah nak membuat nyer..jom kita semak resepi dibawah..

Ayam Kicap Madu..

Bahan-Bahan

1/2 ekor yang sederhana besar - di potong sedang atau kecil (ikut suka) di cuci bersih dan toskan
8 ulas bawang putih - dicincang halus
2 inci halia - diracik halus atau cincang
4 sudu makan sos tiram
4 sudu makan sos cili
5 sudu makan kicap
2 sudu makan madu
sedikit minyak untuk menumis

Cara:

1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali untuk menumis, bila minyak dah panas masukkan bawang putih cincang, dan halia tumis sehingga bawang agak layu dan keperangan dan berbau harum.
2. Masukkan ayam, balik2kan tak perlu masuk air sebab air ayam akan terhasil sendiri terus masukkan sos tiram, sos cili dan kicap. Bila dah dimasukkan sos2 tadi balik2kan sebentar dan kecilkan api serta tutupkan permukaan kuali dengan penutup kuali atau gunakan penutup kukus. Biarkan sebentar dalam 10 minit, ayam akan menjadi empuk.
3. Buka penutup kuali dan balik2kan ayam, masukkan pula madu, jika nak letak garam letak sedikit sahaja sebab semua sos dan kicap dah berperisa. Bila dah masak ayam akan kelihatan berpalut dan likat kehitam kicap..lauk ini memang tak ada kuah sebab kering dan tidak gunakan air.
4. Angkat dan hidangkan ayam kicap madu ini sesuai dimakan dengan nasi putih, nasi ayam atau diratah begitu sahaja.  Selamat mencuba.


Tuesday, July 1, 2014

Bebola Ayam Masam Manis..

Salam...hanya nak berkongsi resepi ringkas hari ini..boleh dibuat untuk juadah berbuka bagi yang sukakan masakan yang ringkas dan mudah..cuma saya gunakan bebola ayam yang dibuat sendiri..kawan2 boleh gunakan yang ready made juga.. semenjak banyak produk yang menjadi keraguan untuk dimakan jadi saya merajinkan diri untuk membuat bebola ayam sendiri..k teruslah kita tengok resepi mudah ini..mesti anak2 suka..

Bebola Ayam Masam Manis

Bahan-Bahan :

Untuk Bebola Ayam Home Made:
2 cawan ayam kisar
2 sudu makan penuh tepung jagung
1/2 camca teh serbuk lada sulah
1/2 camca teh garam.
2 camca teh minyak jagung/minyak masak - untuk mudah mengentel bebola ayam
(Kalau tak nak buat bebola ayam sendiri boleh beli yang ada dipasaran)

Bahan Kuah:
2 senduk cili kisar - guna senduk nasi
3 sudu makan cili sos
3 sudu makan sos tomato
3 sudu makan sos tiram
1 labu bawang besar - didadu halus
3 ulas bawang putih - dicincang
1 inci halia - dihiris halus/cincang.
2 sudu makan gula pasir
garam secukup rasa
1 cawan air
sedikit minyak untuk menumis.

Cara:

1.  Mula-mula sediakan bebola ayam, gaulkan ayam kisar bersama tepung jagung, lada sulah dan garam, gaul rata dan masukkan 2 sudu makan minyak jagung, kepalkan ayam yang sudah digaul anggaran sebesar guli yang sedang. bulat-bulatkan dan gorengkan sehingga masak. (Bebola ayam ini juga boleh disimpan dan dibuat sup jika berlebihan)
2. Untuk sambal masam manis, panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumiskan bawang besar yang didadu, bawang putih cincang dan halia cincang. tumiskan hingga agak layu dan berbau harum.
3. Masukkan cili kisar 2 senduk dan tumiskan sehingga pecah minyak dan agak garing dan masukkan gula, masukkan pula air dan diikuti dengan sos cili, sos tomato dan sos tiram.
4. Bila sambal masam manis agak memekat masukkan bebola ayam balik2kan dan perasakan dengan sedikit garam, jangan letak banyak sebab sos semua dah berperisa dan bebola ayam pun dah berperisa. Siap untuk dihidangkan bersama nasi panas atau boleh juga dimakan dengan roti.  Selamat mencuba..

Setelah Sekian Lama Menyepi..



Assalamualaikum...

Salam Ramadhan dan selamat menunaikan ibadah puasa buat semua pengunjung Blog ZLC yang saya hormati.. Terlebih dahulu saya selaku tuan tanah blog ingin memohon keampunan dan kemaafan kerana telah begitu lama menyepi lebih dari setengah tahun dan entry terakhir yang saya masukkan pada 31 Dis 2013..

Banyak perkara2 yang tidak dapat dielakkan menyebabkan saya tidak dapat meneruskan penulisan juga berkongsi sisipan resepi mudah di blog kerana masalah2 kesihatan yang tidak berapa mengizinkan dan juga talian hayat di rumah iatu Lappy saya yang dah nyawa2 ikan  tidak dibaiki..huhuhu maaf yer kawan2.  sedih juga rasanya bila tidak berkesempatan untuk mencoretkan apa-apa di alam maya ini..saya juga tidak mampu berjanji untuk terus dapat berblog...tengok pada kesempatan dan ruang yang ada nanti In Sha Allah saya akan menulis juga serba sedikit dan yang ringkas2 sahaja ok..

Kalau ada kelapangan saya akan masukkan resepi mudah untuk berbuka bagi yang nak resepi ringkas dan sempoi dari air tangan ahkak ok.. Wakumsalam..jumpa lagi..